Tuesday 12 November 2013

Puasa Asyura'

Dibawah ini adalah antara maksud hadith yang berkaitan puasa sunat hari Asyura.

1) Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda : "Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Muharam. Solat yang paling utama setelah solat fardu adalah solat Tahajud."
( Riwayat Muslim no.1163 )

2) Daripada Ibn Abbas r.a : Bahawa Rasulullah saw berpuasa pada hari 'Asyura' (10 Muharam) dan memerintahkan supaya kita mengerjakannya."
( Riwayat al Bukhari no.2004 dan Muslim no.1130 )

3) Daripada Ibn Abbas r.a, Rasulullah saw bersabda : " Sesungguhnya jika aku masih diberi umur yang panjang, nescaya aku akan berpuasa pada tanggal 9 ( Muharam )."
(Riwayat Muslim no.1134

Jadi, ayuh kita sama-sama menghidupkan sunnah Rasulullah saw, dengan berpuasa pada 9 dan 10 Muharam.

Apakah dikatakan cinta, jika kita tidak mencintai apa yang telah dilakukan oleh orang kita cintai?

Tahun ini, 9 dan 10 Muharam 1435H bersamaan 13 dan 14 Nov 2013.

# Sumber hadith dipetik dari Ringkasan Riyadhus Solihin, disusun oleh Imam Nawawi.

Wednesday 2 October 2013

Kerna aku takdirmu...

Kereta api mula bgerak perlahan, memberi isyarat akan berhenti di stesen. AQ membetulkan tudung yang dipakainya. Almaklum, semalaman berada dalam kereta api, dan semalaman juga tidur dengan bertudung litup. Petang semalam, AQ bertolak dari Stesen Wakaf Bahru, dihantar umi dan abah dengan linangan airmata. Airmata penuh pengharapan. Dua minggu cuti semester bagaikan air yang berlalu deras. Semuanya menjadi memori.

KL sentral.

AQ menguatkan langkah. Beg galasnya disandang ke belakang bahu, tangan kanannya pula menarik luggage berwarna merah. KL sentral sarat dengan pelbagai ragam manusia, tak kira waktu. Badannya yang agak kecil kadang kala dilanggar oleh susuk badan Mat Saleh, dan perkataan 'sorry' ringan dibibir mereka. AQ menuju ke pintu utama.

Kereta Swift putih, WRA 525 sedia menunggu di perkarangan depan pintu utama. Melihatkan kelibat AQ, si pemandu kereta tersebut keluar dari kereta.
"Assalamualaikum!". Pemuda itu menyambut AQ dengan senyuman. Manis.

AQ mula serba salah.
'Sorang je?'
'Mana mama?'
'Semalam mama janji akan datang juga'
'Atau mama tak sihat?'

"Waalaikumussalam", cepat-cepat AQ jawab salam.
"Mama ada kerja sikit, jadi Mama mintak tolong Abang ambilkan. Abang mintak maaf kalau buat AQ tak selesa." Menjawab segala persoalan di benak AQ.

AQ tiada pilihan. Terpaksa juga naik kereta bersama Syah.

Syah adalah satu-satunya anak lelaki tunggal Mama Saadiah. Muka Syah memang mirip Mamanya. Mama Saadiah sudah lama menginginkan anak perempuan, disebabkan itulah AQ dipeliharanya dari kecil. Walaupun begitu, Mama Saadiah sentiasa menasihati AQ agar tidak melupakan Umi dan Abah.

"Umi dan Abah sihat ke?"
"Alhamdulillah. Sihat."
"Bila AQ start kuliah?" Bicara Syah. Memecah kesunyian.
"Lusa."

Damn! Kering ayat.

Mereka membesar bersama. Teman sepermainan. Beza umur mereka adalah dua tahun. Dahulunya, mereka sangat rapat, tetapi terpisah kerana Syah melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. Sepanjang Syah berada jauh nun di sana, AQ lah yang menjadi teman Mama Saadiah. Kini AQ sudah tidak keruan berada di rumah, jadi dia mengambil keputusan untuk tinggal di asrama kolej.

"Kami akan cuba khabarkan perkara ini kepada anak kami, dan kami minta sedikit masa untuk anak kami membuat keputusan. Maklumlah anak kami masih belajar, bimbang juga kalau dia terkejut dengan perkara ini. Harap Dato dan Datin bersabar. Bila dah ada jawapannya nanti kami akan bagi tahu." Bicara Abah. Penuh beradab.

Di balik daun pintu, AQ terduduk, fikirannya buntu. Mukanya tiada respon. Terasa ingin lari dari kenyataan. Yang nyata itu sangat pahit untuk dia telan, tambah di usia yang muda. Mampukah dia menghadapi perkara ini? Perkara yang bukan main-main, soal dunia dan akhiratnya. Namun, dia gagahkan jua kakinya untuk menghadap Umi dan Abah selepas rombongan merisik pulang.

Abah terkejut dengan kemunculan AQ dari belakang. Abah dan Umi mati bicara. Abah menjemput AQ duduk di sofa menghadapnya.

"Abah cuma ingin sampaikan amanah Dato Hamzah dan Datin Hafsah. Mereka ingin jodohkan anak beliau dengan AQ. Abah tahu ini terlalu awal untuk AQ hadapi. Tapi, Abah yakin, AQ mampu buat keputusan yang terbaik. AQ ambillah masa untuk fikirkan perkara ini..."

Handphone AQ bergetar. AQ tersedar dari lamunannya. Suara Abah sudah hilang. Cepat-cepat skrin handphone di'unlock'. Satu mesej diterima.

'Salam. AQ free tak esok?'. Syah.

Hatinya mula berdebar.

Entah kenapa sejak Syah pulang dari negara Timur Tengah, AQ berasa kekok untuk berhadapan dan berbicara dengannya. Mungkin aura Syah yang telah banyak berubah, pemakaiannya, pergaulannya, perkataan dan tingkah lakunya. Segalanya berubah. Syah has turned 360 degree, dia bukan Syah yang dulu.

Lambat-lambat dia taip mesej. "Salam. Petang esok insyaallah free. Ada apa?'

'Ok, kalau macam tu, abang ambil AQ petang esok. Mama ajak dinner sama-sama.'

...to be cont...

Tuesday 25 June 2013



"..He created for you mates from among yourselves, that you may dwell in tranquility with them, and He has put love and mercy between your hearts. Verily in that are signs for those who reflect."
(Qur'an 30:21)



Monday 10 June 2013

~when SYMPA dominates~

Bismillahirrohmaanirrohim...




Hari ini awan nampak tenang. Setenang hati-hati yang merindukan Pencipta Yang Maha Satu.

Kehidupan sebagai mahasiswa di UKM ini dijalani seperti biasa. 8-10 pagi kuliah. 10-1 tengah hari masuk makmal. Makmal pergigian. Ada tugas yang ingin Hana laksanakan. Apa lagi kalau bukan ortho base plate. Sedang syok berbual dengan technician orthodontik, tetiba Dr.Safar datang. Siapa yang tak kenal dengan doc ni?

Memang sinonim dengan kepetahan berbicara, walaupun beliau asal dari Thailand, dan belajar di Pakistan, bahasa Malaysia sudah pekat dibibirnya. Pelajar-pelajar lain memang sudah kenal akan peribadi dan sifatnya yang sangat suka berbual, bukan hanya bidang akademik, tetapi bidang off akademik juga. Sekali pandang, tak nampak gaya doc specialist, tapi he is humble and so nice! Baru-baru ni khabarnya baru beli rumah banglo hampir sejuta kot???@?? Untunglaaaa....

Masa Hana di Tahun 1 dulu, beliau mengajar subjek Oral Biology. Langsung Hana tak faham. Slang English dia, punya la pekat campur arab siam gitu...

Pada awalnya, doc bercerita tentang status warganegaranya, tentang points yang perlu beliau kumpul untuk cukupkan requirement untuk jadi warganegara tetap di Malaysia. Emmm, susah jugak sebenarnya untuk tukar status ni.

Tapi, ayat beliau yang penuh tragis, "I tak kisah, as long as my children semua dapat status tetap, Alhamdulillah! I sendiri, takpe, rezeki Allah ada di mana-mana"

Disebabkan isteri beliau adalah orang Malaysia, so anak-anak akan ikut sama, warganegara tetap.

Perbualan diteruskan lagi...

Tentang jodoh...

"You all bila dah abeh belajar nanti, jangan pulak mudah tertipu dengan foreigner. Ada daripada mereka yang kahwin dengan sebab semata-mata nak dapat status tetap warganegara. Tapi, ada juga yang kahwin sebab niat ingin beribadah...

...you tahu tak kenapa time belajar ni you all takde perasaan?...

...sebab, secara fisiologinya, sympathetic action mendominasi parasympathetic...

...sehingga apabila datang seorang lelaki duduk ditepi kita, kita takde perasaan pun untuk lelaki itu...

...sympathetic mengawal fikiran kita untuk limited kepada pelajaran...risau akan result, risau tak baca ini, tak baca itu, sehingga perasaan untuk berpasangan itu hilang...

...berbeza dengan bila kita dah kerja, it is more rilex, duit dah ada, hidup dah senang...waktu ni, parasympathetic mendominasi. Jadi, waktu nielah akan sibuk duk fikir pasal pasangan, syoknya bila dapat suami hensem,blablablabla...

...that is how it works..."

...so, when sympathetic dominates...

...otherwise, when parasympathetic dominates...

...indeed, which one am I?...

~wellsaid,enough!~



 


Ini gambar yang diambil sempena cuti-cuti di Labuan, Kota Kinabalu, dan Spa Resort Karambunai, 2010.

Wednesday 8 May 2013

Kenapa berubah lagi?


Pintu hati ini diketuk lagi.
Berderai kaca putih, membasahi raut wajah.

Duhai sahabat,
Maafkan aku kerana terleka.

Terlalu leka dengan dunia yang fana dan sementara ini.
Maafkan aku, wahai sahabat.

Disebabkan kelekaan aku itu, kamu jadi begini.

Tidak seperti yang ku sangka.

Aku sedih melihat kamu kembali kepada 'zaman jahil'. Aku sering kali tertanya-tanya dalam hati sehingga hati kecilku memberontak. Kenapa kau jadi begini? Kenapa perlu berubah lagi?

Aku juga pernah berada pada 'zaman jahil' itu. Siapa tahu, 'jahil'nya aku itu lebih teruk dari 'jahil'mu? Aku sangat takut untuk kembali kepada 'kejahilan' itu lagi. Aku tak nak! Wal'iyazubillah!

Suatu ketika dahulu,
"Saya pernah niat nak pakai tudung labuh, pakai stokin, lengkap, bak seorang muslimah sejati"

Hati aku waktu itu, hanya Allah Yang Tahu. Tidak mampu digambarkan.

Tetapi,
Mungkin kerna kelalaian aku,
atau
Mungkin kerna ketidakendahan aku,
atau
Mungkin kerna sikap aku,
atau
Mungkin kerna aku lupa tanggungjawab aku untuk membimbingmu,
atau
Mungkin kerna aku terlepas pandang apa keperluanmu.

Kenapa perlu begini?
Kenapa?
Jawab wahai sahabat!

Duhai sahabat,
Ketahuilah,
aku tidak pernah meninggalkan dirimu,
sekalipun aku bukan sentiasa berada di depan, dibelakang, dikanan, atau dikirimu.

Dalam doaku,
sentiasa ada doa untukmu.

Dengar sini wahai sahabat,
Tudung labuh bukan ukuran kesempurnaan.
Bukan untuk "mereka" segolongan.
Bukan untuk "mereka" bergelar "daie"
Bukan untuk "mereka" bergelar "ustazah"
Bukan untuk "mereka" begelar "muslimah"
Bukan!

Dengarkan ini juga,
Kamu dan aku sama,
Sekalipun tudung kita berbeza,
Sekalipun cara berukhwah kita berbeza,
Sekalipun cara tarbiyyah kita berbeza,
Namun,
Ketahuilah,
Bukan tudung yang menjadi jarak,
Bukan stokin yang memisahkan,
Bukan tarbiyyah yang menjadikan aku dan kamu sejauh ini!

Hanya iman dan taqwa membezakan aku dan kamu di mata Pencipta kita.
Siapa tahu iman kamu melebihi iman aku?
Taqwamu melebihi taqwaku?

Jangan menganggap tudung labuh satu kesempurnaan,
tetapi itu satu pilihan.
Islam flexible!
Tidak kira dengan selimut atau tuala sekalipun, kamu tetap dikira menutup aurat.

Islam menghalalkan kesenian, kebudayaan atau adat.
Selagi mana ianya bertepatan dengan syariat,
Dan tidak melanggar hukum hakam,
Jadi jangan takut jika dirimu dicerca kerana minatmu itu,
Jangan takut jika dirimu dijauhi kerana bakatmu itu.
Teruskan!
Islam memerlukanmu untuk membawa kesenian, atau kebudayaan, atau adat ini ke arah yang lebih Islamik,
Terapkan nilai-nilai Islam ke dalamnya, agar ianya dapat membawa imej Islam, bukan imej barat yang perlu kita contohi.

This is the way of Islam.
Indah!

Kembalilah!
Aku masih menanti kamu di saat penghijrahanmu pada satu ketika dahulu.


~untukmu, sahabatku dunia akhirat~



Saturday 23 March 2013

a 'Gift to Explore'


3 tempat untuk menginsafkan diri:
1) Kawasan perkuburan Islam
2) Hospital
3) Rumah anak-anak yatim

Hari ini, rasa terpanggil untuk berkongsi perjalanan blogger 'a Travelog of Mine'. Moga bermanfaat.

Seawal 7.20 pagi, usai menyiapkan diri dan mengisi perut dengan 2 keping biskut, aku berjalan menuruni tangga blok F, menuju ke surau D. Surau D berada di blok pelajar lelaki. Mulanya segan, tetapi setelah melihat 2 orang Muslimah memasuki pintu surau itu, aku kuatkan langkah. Dengan niat membantu meringankan beban organisasi 'Gift to Explore', aku masuk ke surau D. Sepatutnya seperti yang dirancang dalam meeting semalam, para organisasi dan fasilitator perlu berkumpul seawal 7.00 pagi. Tapi yang ada hanyalah pengarah dan exco program. Dua-dua Muslimin! Aku seorang je Muslimah. Nasib baik junior. Jadi tak kisah la sangat. Dua orang Muslimah tadi bukan di antara organisasi, mungkin ada meeting program lain.

Dengan selambanya, aku duduk. Tak tahu nak tolong apa. Kepada pengarah, aku ajukan soalan, apa-apa yang perlu aku tolong. Pengarah Asrul minta aku untuk tiup belon. Haha. Aku gelak dalam hati. "Belon?Maaf, akak tak minat sangat la...Ada kerja lain tak?" Aku mengelak. Sebenarnya aku segan untuk tiup belon depan orang. Dah la sorang-sorang je kat situ. Mana entah budak-budak Muslimah lain.

Handphone di sebelah bergetar. Sape pulok?

"Ni kak Azra ke? Busy ke sekarang? Adik nak tanya pendapat akak ni, boleh tak?"

Nak mintak dia call nanti, tapi tak terkeluar ayat tu.

"Oh, boleh je. Tak delah busy sangat. Ada apa?"

Teringat mesej dari kakakku tadi mengkhabarkan tentang seorang lepasan SPM ingin meminta pandangan aku kerana dilema dalam memilih jurusan pengajian. Anak kepada sahabat Ma. Khabarnya dia memperoleh 8A. Hebat dong! Bangga! Orang kampung aku tu!

Difikiranku, agaknya aku boleh jadi kaunselor atau duta pengajian post-SPM nie. Hehe. Kalau bukan kepada anak-anak kampungku, kepada siapa lagi perlu aku taburkan jasa, semaikan budi? Aku taknak jadi kacang lupakan kulit, atau beras lupakan hamas padi. (betul ke?he!he!)

Tetapi serius terkejut jugak masa mula-mula dapat mesej dari kakak sulungku itu.
".....Ma ada bagi nombor fon kamu kat anak kawan Ma......". Aku berdebar. Kali ini, calon suami lagi ke? Hayyyyyakkkk!
Aku teruskan baca mesej itu sampai habis. Rupanya anak kawan Ma itu nak minta pendapat je. Hilang debaran.

Selepas 10 minit lebih bercakap menerusi handphone, dan dia macam dah faham procedure nak ambil jurusan perubatan, dia pesan: "Nanti kak Azra balik, bagitau adik ye, adik nak jumpa akak. Akak cuti bila?"

Haha, berdebar jugak orang ajak nak jumpa nie. Almaklum, aku pemalu orangnya. (Yeke?)
Perbualan berhenti disitu.

Kembali kepada program 'Gift to Explore'.

Dah namanya "explore", dapat guess tak ni program apa? Hehe.



Selepas persiapan rapi dibuat, kami berkumpul di court bola tampar. Aku sebagai salah seorang fasilitator untuk checkpoint 7 explorace ini. Kiranya aku ni wakil daripada BADAR, sebabnya program ini merupakan anjuran FSI dan diletakkan sepenuhnya bawah kelolaan BADAR (= Badan Dakwah dan Rohani). Jadi BADAR pun kena turun padang la~
*FSI= fiesta sinergi intelek.

<titian kasih>

Pintu pagar kayu ditolak. Kaki kanan mula melangkah masuk. Mak Indah menyambut kami. Bagaikan memahami, Mak Indah menunjukkan arah tempat yang bakal kami jadikan sebagai 1 daripada 9 checkpoint explorace. Tugasan di checkpoint ini senang je, cat dinding bilik anak-anak di sini, Rumah Titian Kasih.




Antara peserta explorace yang menyiapkan task di checkpoint 7


Adakah anda sedar akan kewujudan Rumah Titian Kasih? Berdekatan Tasik Titiwangsa yang famous tu. Rajin-rajinlah datang jenguk anak-anak disini.

Ini kali pertama menjejakkan kaki di rumah ini. Padahal, dekat je dengan kolej. Dan ini juga adalah kali pertama menjejakkan kaki ke rumah kebajikan anak-anak. Terharu dengan suasana. Sayu dengan keadaan anak-anak. Insaf dengan cara kehidupan mereka.

Hati aku memberontak lagi.

Dimana mak ayah mereka?

Dimana adik beradik mereka?

Dimana saudara mara mereka?

Kenapa mereka ditinggalkan disini?

Kenapa mereka perlu menghadapi semua ini?

Kenapa mereka perlu diasingkan dengan anak-anak diluar sana?

Kenapa mereka perlu dikumpulkan bersama golongan senasib mereka?


Kamu sedar mereka wujud?

Kamu cakna tentang mereka?

Kamu yakin mereka boleh hidup tanpa kamu?


Duhai kamu dan aku!

Apa yang telah kita sumbangkan untuk mereka?

Mereka perlukan kita.

Jasad dan roh kita.

Bukan duit kita.

Bukan makanan kita.


Mereka perlukan perhatian dan kasih sayang kita.

Bukannya tangan untuk membantu mereka.

Bukannya hati yang simpati dengan mereka.


Tetapi...

Masa kita bersama mereka!

Ini yang mereka perlukan!


Aku tak sehebat mereka. Tak setabah mereka. Tak semulia mereka. Sebab itu, Allah tidak meletakkan aku bersama mereka. Aku punya Ma, Abah, abang, kakak, adik, saudara mara, tetapi tetap tidak bersyukur. Tetap merungut. Tetap rasa tak cukup.

Arggghhhh! Manusia yang lupa! Lupa dalam dunia fana!

Anak di hujung katil itu menarik pandangan aku. Baru bangun agaknya. Aku cuba mendekatinya. Dari raut wajahnya, dia merupakan seorang anak Down Syndrome. Allah! Tabahnya anak ini diuji dengan sehebat ujian Engkau Yang Maha Hebat. Anak itu senyum. Bagai menyapa aku. Anak-anak lain memanggilnya 'budak cacat'. Kesian! Dia bukan cacat wahai anak-anak! Dia istimewa! Dia dengan dunianya. Sendirian. Tiada kawan. Dan aku tak memahami dunianya. Muga syurga selayaknya untukmu!

Terdengar tangisan anak kecil. Tiada yang memujuknya. Aku tak faham apa yang anak kecil ini mahukan. Di depannya ada seorang perempuan, mungkin ibunya, sedang menjemur kain. Tetapi, kenapa ibunya buat-buat tak tahu, buat-buat tak dengar tangisan si kecil ini? Makin lama makin tinggi suara tangisan itu. Aku cuba untuk memujuk si kecil, tapi dia tak mahu! Mungkin yang boleh menenangkannya hanyalah ibunya.

Di satu buaian, sepasang mata anak comel mengikuti langkahku. Agaknya 6-8 bulan. Mungkin mahukan hangatan pelukan bak seorang ibu. Aku? Let's try!

Di sudut yang lain pula, seorang anak perempuan, putih melepak, bertudung hitam memegang buku di tangannya. Bertubi-tubi aku ajukan soalan, tanpa mengharapkan jawapan. Kerana aku yakin aku masih belum ada aura untuk menarik anak-anak berkomunikasi denganku. Masih belum cukup ilmu berkaitan tarbiyatul aulad. Tetapi, aku kemudiannya dikhabarkan bahawa anak ini tidak mampu bercakap. Sedihnya hati. UjianMu memang hebat Ya Allah. Engkau kurniakan kecantikan untuk anak ini, tetapi Engkau tarik kenikmatan bersuara. Aku mencari hikmahnya.

"Kakak, bila kakak datang lagi nanti, kakak beli hadiah boleh? Saya nak bagi kat Mama saya. Mama saya suka hadiah, kak." Rayu anak perempuan itu. Umurnya mungkin dalam 5-6 tahun.

"Kakak, ni huruf apa?"

"Kakak, nak pinjam fon boleh? Saya nak telefon Mak saya."

"Kakak, saya pun nak mengecat jugak. Saya pandai buat tu."

"Kakak, kakak nak balik dah ke?"

Pelbagai ragam dan kerenah anak-anak. Semuanya mengajar aku erti hidup. Bahagia, derita, kasih sayang, syukur, tabah, dan erti segala-galanya. Kalau bukan kerana 'Gift to Explore' ini, mungkinkah aku akan ditemukan dengan mereka? Mungkinkah kakiku ini akan menjejak Rumah Titian Kasih?Mungkinkah hati aku akan diketuk?

Terima kasih Ya Allah, Engkau ketukkan hatiku dengan anak-anak ini. Ada hikmah tersembunyi di sebalik 'Gift to Explore'. Shall I twist it with 'Explore to Gift'?





Anak-anak di Titian Kasih

Friday 8 March 2013

belajar?nikah?=belajar nikah?


"Abah, apa pendapat abah tentang nikah waktu belajar?"

Angin sepoi-sepoi bahasa pada petang itu. Tenang. Damai. Bagaikan memberi laluan untuk medan perbincangan.

Abah dan Ma terpaku dengan pertanyaan itu. Mereka memandang aku. Concentrate.

Di tangan aku masih erat memegang Kitab Ringkasan Riyadhatus Solihin. Setia di genggamanku. Bagaikan mengerti yang aku perlukan kekuatan untuk berbicara tentang perkara ini.

" Zaman sekarang ni, dah jadi perkara biasa nikah waktu belajar. Ada je kat luar sana yang nikah, dan dalam masa yang sama pandai uruskan rumah tangga. Anyway, kenapa anak abah tanya soalan macam ni?". Abah masih tak dapat meneka isi hati anaknya ini.

Aku menahan malu. Ini kali pertama berbicara tentang nikah dengan wali aku yang sah, Abah.

Aku menyusun ayat dalam hati. Satu persatu. Takut tersalah tafsiran oleh Ma dan Abah.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

"Assalamualaikum, Hana. Awak dah habis exam ke? Saya ingat nak jumpa awak la."

Aku menerima mesej daripada seorang yang sangat aku kagumi dan segani.
(Maaf, namanya tidak mampu dipamerkan disini.)

"Wassalam wbt. Exam dah habis. Tengah cuti sekarang ni. Ada apa nak jumpa saya? Boleh je, insyaAllah. Bila?"

"Malam ni saya ambil awak kat kolej boleh?"

"Boleh, InsyaAllah!"

"Oke, c u then!"

Malam hari Khamis. Seperti yang dijanjikan, beliau bersama suaminya datang ke kolej dan membawa aku ke sebuah gerai sate.

Selepas berbual-bual bermacam perkara, lalu beliau memulakan bicara, menyatakan hajat tentang pertemuan malam ini.

"Ada seseorang minta tolong saya untuk sampaikan sesuatu kat Hana. Tapi sebelum tu, saya nak tanya, Hana dah berpunya ke belum?"

Dengan hairannya, aku geleng. Sifat keibuan yang jelas terpancar menyebabkan aku rasa seperti aku bersama Ma, jadi aku perlu jujur dengannya.

"Ada seorang muslimin minta saya tanyakan hal ini. Dia mempunyai hasrat untuk mengkhitbah Hana. Jadi beliau minta saya untuk sampaikan perkara ini...

...dia tak kenal siapa mak ayah Hana, jadi sebab itu lah dia minta tolong saya jadi mediator...

...orangnya memang baik, dan peramah. Apa yang saya respect kat dia adalah, dia tak minta pun biodata/profile Hana dari saya. Maksudnya, dia seorang yang tak kisah pun siapa Hana, dari mana, dan anak siapa...

...dia ada emelkan kat saya tentang latar belakangnya. Nanti saya forwardkan kat Hana...

...Hana ambil la masa untuk fikirkan keputusannya. Cuba bincang dulu dengan mak ayah."

Satu teguk air ditelannya sebelum menyambung bicara.

"Hana dapat teka siapa orangnya?"

Sekali lagi aku geleng. Senyap. Tanpa sepatah kata.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

"Macam ni lah, kalau betul dia memang nak meminang, suruh dia datang jumpa family dulu. Tengok dulu family kita macam mana, takut nanti menyesal lepas nikah..." Abah memberi kata putus awal.

Aku menafsir ayat Abah. Datang meminang? Possible ke?

Ada banyak perkara yang perlu di'consider' sebelum meminta pihak sana untuk masuk meminang. Antara yang paling penting untuk dipertimbangkan adalah persediaan aku sendiri untuk menerima lamaran itu, atau dengan kata lainnya, adakah aku bersedia untuk mempunyai ikatan dengan sang lelaki itu?

Aku berkira-kira dalam hati. Abah ni biar betul.

"Hana yakin ke boleh bagikan masa untuk belajar dan masa untuk suami? Seperti yang Abah cakap tadi, ada orang boleh buat dua benda dalam masa yang sama, pandai uruskan rumahtangga dalam masa yang sama masih lagi seorang siswi. Tapi, Ma tak yakin Hana mampu lakukan. Ma takut Hana gagal nanti..." Ma mula bersuara, memberi pandangan.

Perbezaan pendapat antara Abah dan Ma. Tapi wali aku yang sah adalah Abah. (hehe)

Abah mula berfikir. Menafsir ayat Ma. Dalam diam Abah mengiyakan kata-kata Ma.

"Betul jugak tu. Hana yakin dia boleh jadi suami yang baik?"

Aku diam. Tiada jawapan.

"Anakku, Hana. Abah tak menghalang apa pun keputusan Hana. Semua bergantung pada Hana. Fikirlah baik buruknya khitbah ini."

Aku masih lagi diam. Sepatah belum keluar dari mulut. Buntu. Yang aku perlukan sekarang ini adalah pendapat Ma Abah, bukan keputusan aku.

Saraf dalam otak bersimpul, sarat dengan persoalan dan kebimbangan. Tapi, tak mampu untuk diluahkan kepada Ma dan Abah.

Adakah aku masih belum matang untuk menghadapai perkara ini?

Atau belum masanya?

Atau bukan jalan yang terbaik?

Atau ini dugaan yang perlu dilalui oleh hamba yang mengaku beriman kepadaNYA?


"Abah tak kisah ke kalau Hana nikah dalam waktu terdekat ni?" Aku menduga hati Abah.

Giliran Abah pula diam.

Ma mula mencari kata.

"Hana sanggup ke langkah bendul?"

Kakakku yang ketiga juga masih belajar, dan belum bernikah. Aku pernah menangis apabila kakakku menceritakan kisahnya yang ingin diperkenalkan kepada seorang engineer. Tiada orang tahu. Aku sedih, kerana aku akan kehilangan 'geng' apabila kakakku nikah kelak.

Pasti kakakku juga bersedih jika aku mendahuluinya...

Aku juga pernah menangis di rumah, apabila abang kembarku akad nikah di rumah isterinya pada suatu masa dulu. Satu-satunya abang yang rapat dengan aku. Tapi sekelip mata dia dah jadi milik orang lain dengan hanya satu lafaz akad nikah.

Pasti kakakku juga akan menangis apabila lafaz akad nikah menjadikan aku jauh darinya.

Wahai kakakku yang disayangi lagi dihormati,
Bukan ini yang aku pinta.
Ini jalan Allah yang perlu kita tempuh.
Redhakanlah hati supaya Allah redha akan kita.

"Anakku Hana, ini cadangan Abah. Abah mengharapkan Hana habiskan dulu pelajaran. Lagipun hanya lebih kurang 2 tahun dah nak habis. Kalau pihak sana tak sabar, biarlah diorang cari yang lain. Hana jangan bimbang, Nescafe campur Milo, tetap akan jadi Neslo...Kalau dah jodoh Hana dengan dia, lambat atau cepat bukanlah penghalangnya. Abah doakan yang terbaik untuk Hana."

"Baiklah Abah. Kalau itu keputusan yang Abah redha, maka tiada lagi alasan untuk Hana mencari keputusan lain."

Dan aku lalui jalan hidupku seperti biasa. Walau kekadang hati rasa diganggu dan terganggu.

Ya Allah,
Jika ini jalan yang perlu aku tempuh,
redhakanlah hatiku supaya Engkau redha terhadapku.

Ya Allah,
Engkau tetapkanlah aku atas keputusan ini.
Engkaulah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaMu.

Ya Allah,
Jika dia jodoh yang terbaik untuk agamaku, terbaik untuk kehidupanku di dunia dan akhirat,
maka ikhlaskanlah hatiku untuk menerimanya, dan ikhlaskanlah hatinya untuk menerimaku.

Jika sebaliknya,
maka jauhkanlah dia dariku dan jauhkanlah aku darinya,
Wahai Allah Yang Maha Mengtaqdirkan.

Aku serahkan segala urusan hidup dan matiku kepada-Mu, Ya Allah.



kahkahkah
 

Monday 18 February 2013

1 2 3

 
~1st day, 2nd sem, 3rd year~
 
 
1 2 3 = hari pertama untuk semester 2 bagi tahun 3
        = ( In english style ): first day of the second semester of the third year.
 
Kampung halaman telah aku tinggalkan. Ayam, itik, ikan, burung dan pokok pasti rindu akan aku.(Padahal takde pun ayam itik segala bagai tu...just metafora...)
 
Hati rasa berat untuk melangkah naik ke tangga bas. Tapi apakan daya, aku perlu kuat untuk menimba ilmu di negeri orang. Jauh dengan ma abah. Berdikari dengan kaki sendiri di tengah-tengah bandar KL, yang aku tak mimpi pun untuk berada di sini. Takdir Allah menetapkan aku di sini.
 
Malam tadi, usai solat di Masjid Naim, cepat-cepat abah start enjin kereta dan menekan pedal minyak, menuju ke Pasar Jelawat, tempat hentian bas. Jam menunjukkan 8.55 pm. Lagi 5 minit bas akan sampai seperti yang telah dijadualkan. Aku bimbang sejarah kena tinggal dek bas berulang lagi. Dekat 20 minit menunggu, bas datang.
 
Sekali lagi ma pesan: "Nanti sampai telefon tu!"
Ayat common.
 
Mata melilau mencari seat 3C.
 
"Arggghhhhh! Nasib badan! Gane nok tido nanti nie?" Hati aku panas bila melihat seorang lelaki berkopiah duduk di seat 3B. Seat 3B dan 3C berkembar. Seat 3A adalah seat VVIP, dan single.
 
Aku control, buat muka selamba. Letak  beg galas di kaki seat 3C, then aku duduk di Seat 3A. Nasib baik masa tu tak ada orang di seat 3A.
 
Aku berdoa, memohon agar pemegang tiket seat 3A baik hati dan faham akan keadaan aku yang tak boleh tidur jika duduk di sebelah lelaki ajnabi berkopiah itu.
 
Setelah 3 hentian bas berhenti untuk mengambil penumpang, seorang lelaki muncul. Agaknya pemegang tiket 3A. Aku berteka-teki.
 
"Nak tukar seat ke?" Lelaki itu bertanya.
"Takpe ke?"
"Boleh. Tak kesah"
"Terima kasih!" Aku melonjak gembira. Syukur!
 
6.30 pagi tadi sampai di pintu depan kolej. Penat. Kepala pun berat. Hampir 10 jam perjalanan. Tapi, hari ini harus aku tempuhi. Aku perlu kuat! Banyak benda kena buat. Biasa, first day of second sem of third year.
 
> selepas solat subuh, iron baju dan tudung
 
> kemas barang-barang untuk di bawa ke fakulti
 
> 7.30 pagi. Lewat dah ni. Langkah besar menuju ke bus stop. Pakcik bas gerak lambat. Berdebar takut tak sempat kejar pukul 8. Takut jam, biasa KL.
 
> tutorial direct restoration,tak prepare apa-apa pun. Punyer la perah otak, idea tak keluar jugak.hee
 
> at last, semua kena buat esei regarding the tutorial questions. Ha Ha
 
> hantar base plate and ortho wire bending di ortho department
 
> usai solat dhuha, kaki bergerak ke pejabat dekan. Ambik jadual untuk sem 2.
 
> pukul 10 am, naik tingkat 2, masuk surgeri 5. Prostho Clinic. Nasib baik patient tak datang. So, boleh rilex sikit.
 
> lepas hantar slip kehadiran di prostho department, turun ke tingkat 1. Ke lab aku tuju.
 
> Trim secondary model. Ingat dah boleh siapkan base plate dan wax rim untuk lower denture, tapi masalah baru pula timbul.
 
> You have to create a design for this lower denture, together with its C-clasps or rest. Get approval from Prostho Supervisor Doctor first, then can proceed with surveying-block undercut-base plate-wax rim...
 
> bertambah lagi kerja....
 
> Jam 12, teman kawan-kawan ke Low Yatt...penat sebenarnya. 'Jet lag' tak hilang lagi. Even naik bas je kot. Plan aku, petang ni nak kemas bilik, simpan barang-barang yang masih berbungkus dalam bagasi. Tapi tak patut aku tolak permintaan sahabat ini. Lalu, ku gagahkan jua berjalan ke monorel Chow Kit menuju ke Stesen Imbi.
 
> Pengarah Dinner minta tolong untuk baiki balik kertas kerja sebab JPPel tak dapat luluskan program. Again, SPI fever! Problemnya hanyalah kecik, tapi nak buat macam mana, kertas kerja mesti perfect!
 
> Selipar toilet terkena muntah kucing. Geram!!! Terpaksa buat kerja amal, bersihkan selipar tu. Kalau aku dapat kucing tu, tahu lah apa nak buat nanti..He He
 
> Senja menjelma. Barang masih dalam bagasi. Siapa nak tolong kemas?
 
 
123 kerja kena buat hari ni....Biasa, first day of second sem of third year...
 
 
Dua minggu cuti asyik menjalani hidup makan+tidur. Syurga makanan; laksa, nasi ayam, karipap, keropok, duku, limau mandarin, kuey teow, mee sup, nasi kak wok, roti canai. Macam-macam. Badan pun dah rasa berat semacam nie. Ke dah naik 1.23 kilo?
 
Jadi, terimalah ganjarannya, 123 kerja untuk turunkan kembali 1.23 kilo!
 
 
> Rilex dulu....
 
Pasti sawah ini merinduiku..he he

...tu diaaaa...syurga makanan...
 
 
 
 
 


Monday 4 February 2013

21+1

 
~In The Name of Allah, The Most Gracious. The Most Merciful~
 
 
Oh Allah,
 
Tuhan Sekalian Alam,
 
Yang Maha Berkuasa dan Maha Penyayang,
 
HambaMu yang hina dan lemah ini datang kepadaMu,
 
Bersujud dan memohon dariMu,
 
Keampunan, Keberkatan, dan Hidayah dariMu,
 
 Yang sentiasa aku dambakan,
 
Maka Ya Allah,
 
Ampunilah aku, berkatilah setiap langkahku, dan kurniakanlah hidayah sepanjang hidupku.
 
 
Ya Allah,
 
Sesungguhnya Engkau-lah Yang Maha Mengetahui,
 
apa yang telah aku lakukan,
 
apa yang telah aku perkatakan,
 
apa yang telah aku fikirkan dan zahirkan,
 
Maka,
 
Ya Allah,
 
Engkau hapuskanlah dosa-dosa aku dalam setiap perlakuanku,perkataanku,pemikiranku.
 
Seungguhnya Engkau-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
 
Di depan-Mu Ya Allah,
 
Aku bersaksi,
 
Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah,
 
dan,
 
Nabi Muhammad (PBUH) adalah pesuruh Allah.
 
Allah,
 
Engkau hidupkanlah aku dalam Islam,
 
dan
 
matikanlah aku dalam Islam.
 
Engkau cukupkanlah aku dengan hanya berTuhankan Engkau Yang Maha Satu,
 
dan
 
Engkau cukupkanlah aku dengan hanya beragamakan Islam yang suci.
 
 
 
Umur 21 telah pun pergi semalam, meninggalkan aku untuk terus berjuang dalam umur 22. Moga 22 ini lebih manfaat berbanding 21. Amin.
 
Teringat zaman sweet 17, aku pernah merancang untuk bernikah pada umur 25.
Aih?Ye Ke? Aku pun tak ingat. Diari 17 dah hilang. Memori pun lenyap ditelan masa.
Betul kot 25, atau lebih kurang 26 or 27.
Itu zaman sweet 17, sekarang bila dah masuk sweet 22, aku tak berani nak plan apa-apa tentang hal-hal berkaitan munakahat ini.
Rasanya belum masanya.
Rasanya baru semalam abah hantar ke sekolah.
Rasanya fikiran aku belum matang untuk jadi suri hati sang suami.
Rasanya diri ini belum cukup untuk mentarbiyyah anak-anak dengan cara Islam.
Rasanya jasad dan roh ini belum mampu untuk membentuk sebuah baitul Muslim.
 
...Baitul Muslim???...
 
Teringat pada satu liqo' generasi, yang mana si naqibah memberi ruang kepada kami, si anak-anak usrah ni untuk berkongsi perancangan setahun kehadapan berkaitan kerjaya dan rumahtangga.
Memandangkan tiada plan setahun kehadapan dalam bab rumahtangga, aku pun cakap:"Rahsia!"
 
Bila melihatkan baitul muslim yang dibina oleh kakak dan abang iparku, rasa sangat kagum dan terharu.
 
Bila melihatkan kadar penceraian, dan kes dera isteri, hati pasti takut.
 
Tetapi seorang sahabat menasihati,"Apabila memulakan sesuatu dengan baik, maka pengakhirannya akan baik."
 
Dan sesungguhnya jodoh, pertemuan, dan perpisahan adalah di Tangan Yang Maha Berkuasa.
 
Hari ini, hari pertama 22.
Pasti ada matlamat yang aku nak capai.
Dan semestinya, dalam bab nikah kahwin ini, aku ada plan tersendiri.
Walau pun takut nak plan sebenarnya.
 
Moga redha Allah sentiasa bersama.
 
Moga 22+1 lebih bermanfaat daripada 21+1.
 
dan
 
21+1 lebih bermanfaat daripada 21.
 
Amin.

::7.40 am waktu Kuala Lumpur, 5 Feb 2013 bersamaan 24 Rabi'ul awal 1424::


...jari yang menaip...


"Cuba ulang sekali lagi..." Arah aku kepada anak buah, Imran.

Tanpa banyak songeh, "Assalamu'alaikum, ya ahlul qubur!",pantas Imran ulang.

Ketika itu, kereta yang dibawa abang sulung aku melewati kawasan perkuburan Islam.

"Pandai nya! Siapa ajar Imran?"

"Ustaz kat sekolah!"

Masih diingatan, soalan Imran kepada ayahnya,"Bila kita nak masuk kubur, ayah?"
Masa ni Imran berumur dalam 4-5 tahun.

Lalu, ayahnya gelak kehairanan. Masuk kubur? Atau anak ketiganya itu tersalah ayat? Mungkin maksud anaknya, bila boleh ziarah kawasan perkuburan.

"Bila kita meninggal kita masuk la dalam kubur. Nak lawat kawasan perkuburan, bila-bila masa pun boleh..." Ayahnya memberi jawapan.

"Imran nak ikut la ayah lawat kubur. Boleh?"

"Nanti ayah bawak,oke!"

Satu-satunya anak yang kepalanya dicukur oleh tok guru Menteri Besar Kelantan selepas dilahirkan pada 2005.
Dia-lah yang pada waktu kecilnya, bila terlihat banner atau poster gambar tok guru, pasti menyebut-nyebut nama tok guru. Mana entah dia kenal. Sampai kitorang satu family panggil dia 'tok guru'.

Si Harith Imran, sekarang dah masuk darjah 2, sudah bijak. Dulu asyik-asyik tak kena angin, menangis je kerja dia. Susah nak serik pulak tu.

"2 ringgit la..." Imran demanding. Budak-budak sekarang ni, bila suruh buat kerja, asyik-asyik minta upah. Aku tak layan.

"Cepat. Baca kat mana dah?"

"Annisa, ayat 4"

Lantas aku membelek alQuran, mencari-cari surah Annisa.

"Nah, baca."

Imran memulakan bacaan dengan al Fatihah, diikuti surah Annisa. Bacaannya lancar, cuma perlu diperbaiki dari segi panjang pendek ayat. Ustaz yang mengajar Imran mengaji khabarnya budak pondok, bagus perwatakannya, tinggi ilmunya. Alhamdulillah, usaha ayahnya menjadikan ustaz pondok itu sebagai guru mengaji berbaloi.

Zaman aku kecik-kecik dulu, balik je sekolah, terus pergi rumah tok guru mengaji. Kadang-kadang liat jugak. Biasa, zaman kecik yang tak tahu apa-apa. Tok guru mengaji yang sangat aku kagumi itu, sudah lama aku tak menjengah ke rumah beliau. Entah apa khabar ye? Di depan beliau-lah, aku mengkhatamkan 30 juzuk. Jasa yang tak mampu aku balas selama-lamanya. Muga di sisi Allah, segala balasan kebaikan untuk beliau dan sekeluarga.

Dulu, pondok mengaji di tepi rumah tok guru penuh dengan suasana anak-anak kampung. Sekarang? Aku tak update. Lama dah tak menjejakkan kaki ke pondok itu. Rasa rindu.

"Cik Su, Imran siap dah baca sehelai ni..." Khayalan aku terhadap memori lama lenyap.

"Baca sehelai lagi la..."

"Tapi, ayah dah nak balik dah."

"Ye ke?" Haaaa, aku malu sendiri. Nampak sangat aku masih berkhayal.

"Sambung nanti lahh..."

"2 ringgit, cik su!"

"Ishhh budak ni! Pegi ambek atas meja dalam bilik."

"Yey!"

Saturday 26 January 2013

Perempuan itu...aku kenal!

 
~Ya Allah, lindungi kami dari syaitan yang direjam~
 
 
Sampai pondok guard di hadapan pintu utama kolej, aku teruskan langkah.
Di depan, seorang perempuan berjalan keluar dari pintu itu, hampir separuh laju.
Tangan kanannya, ada handphone.
Tangan kirinya, ada helmet.
(Bukan hemlet yang sedap dimakan tu)
 
Aku berkira-kira dalam hati...
....dia nak keluar kot...
 
Aku teruskan lagi berjalan.
 
Allah!
Allah!
Allah!
 
Perempuan itu berhenti berjalan, dan berdiri di tepi motosikal.
 
Aku tundukkan mata.
Tak sedap hati.
Aku angkat muka.
 
Perempuan bert-shirt itu menghulurkan tangan, bersalam dengan si lelaki yang berada di atas motosikal.
 
HusnuzZhonn, Az!
 
Abang dia kot.
atau
ayah dia kot.
Tapi muda sangat tu.
 
Aku tundukkan muka, lagi sekali.
 
Allah, tolong halang maksiat.
Tolong jaga pandangan aku.
Tolong selamatkan kami yang ada di kolej ini.
(sebab, bala Allah akan menimpa jika maksiat berleluasa)
 
Hati mengarah mata untuk siasat.
Lalu, muka diangkat.
 
Allah!
Lelaki itu mencium tangan perempuan itu.
Sah!
Bukan abang!
Bukan ayah!
Suami?
Mustahil...
 
Serta merta rasa bahang di muka.
Serta merta berdebar nak mulakan langkah untuk joging.
Tak tahu kenapa petang ni tergerak nak joging.
Aku hanya nak mempraktikkan tarbiyyah jasadiah yang Islam ajar....
Yang kadang-kadang aku praktikkan, yang kadang-kadang aku buat-buat lupa...
 
Hari ini,
Allah temukan aku dengan pasangan itu.
Apa aku nak buat?
Dakwah?
Argggghhhhhh.....
Do I care?
 
Of course!
I care!
Because,
She
and
He
are
MUSLIM!!!
 
Hati masih berdebar.
Allah!
Tolong selamatkan mereka,
Tolong jauhkan mereka dari maksiat.
 
Tanpa segan silu,
perempuan itu membuka kangkangnya, memanjat naik ke motosikal.
Tangannya menyentuh belakang bahu lelaki itu...
Mahram ke?
 
Aku taknak tengok!
Allah, malunya!
 
Ampuni aku Ya Allah!
Aku tak dapat bersangka baik dah.
 
Aku kenal perempuan itu!
Tapi aku tak dapat buat apa-apa pun untuk dia.
Hanya doa aku panjatkan.
Hanya hati mampu mencegahnya.
Allah!
Lemahnya IMAN!
 

Sukan air di Tasik Titiwangsa
 




Sekitar Tasik Titiwangsa
 
 

Sunday 20 January 2013

rememberance of ....

 
In The Name of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful
 
 
Masih segar diingatan, waktu PRK awal sesi 2012/2013.
(PRK = pilihanraya kampus)

Pelbagai rencana telah diatur oleh pihak tanzim kampus.
Sebenarnya rencana ini telah lama, almaklum, asyik ditunda saja prk pada kali ini. Sepatutnya prk ini perlu diadakan pada sesi 2011/2012, tapi entahlah apa rahsianya, ditunda hingga ke sesi ini.

Aku masih dengan gaya lampuk dan 'conventional'.
"Mana mungkin aku boleh jadi salah seorang calon MPP pada kali ini, dan aku tak berniat pun nak jadi!"
(MPP = majlis perwakilan pelajar)

Sejak melangkah kaki pada hari pertama sesi pembelajaran 2012/2103 (waktu ni aku pelajar tahun 3), aku tekadkan dalam hati, aku coretkan dalam diari, bahawasanya aku taknak jadi calon MPP bagi wakil fakulti aku. Tak kesah pihak tanzim pujuk rayu macam mana sekalipun, aku mesti dan kena tetap dengan pendirian aku. Aku tak boleh kalah dengan mereka. (Dalam hati, aku tersengih jahat)

Mesej demi mesej aku terima daripada pihak berwajib tanzim.
> Perjumpaan > Latihan > Public Speaking >
Aku pun penat!
Aku malas nak layan!
Kenapa aku perlu ikut semua ni!
Biarkan aku dengan hidup aku!


Macam biasa, hati kecil ini memberontak lagi.
Macam biasa, immune dah jatuh.
Macam biasa, demam dan selesema lagi.


Datang satu ayat: ".....Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-NYA......" (alHajj:40)

Datang lagi satu: "Islam bukan hanya boleh tertegak dengan tarbiyyah, tetapi sistem pemerintahan atau siasah atau harakiy atau politik menjadi jalan tertegaknya hukum hakam Islam..."

Datang lagi: "Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah......" (asSaff:14)

Datang lagi: "Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNYA dan berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (asSaff:10-11)

Datang lagi: "Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah mereka yang tuli dan bisu (tidak mendengar dan memahami kebenaran), iaitu orang-orang yang tidak mengerti." (alAnfal:22)

Ye, aku bukan penterjemah dan penafsir alQuran, tapi ayat-ayat ini hanyalah dijadikan panduan. Apa lagi yang boleh dirujuk selain alQuran dan asSunnah?

Lalu, hati yang keras ini cair.
Air mata yang susah nak keluar ini menitis laju.
Otak berfikir, mencerna, menganalisis, mendamba pilihan tepat.

Dan keputusan Allah adalah yang terbaik bagi hambaNYA.

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" (alBaqarah:216)

Aku pasrah.
Ini ketentuan Allah.
Aku tak boleh menolak takdir.

Aku perlu betulkan niat.
Niat kerana Allah, kerana Islam.

Aku perlu ikhlas.
Aku perlu bersungguh-sungguh menegakkan kalimah Allah.

Aku hamba.
Dan Allah alKholiq!


~ rememberance of PRK, October 2012 ~

a bouquet of shukron to:
  • tanzim kampus
  • pihak 'berwajib' tanzim kampus
  • manager and supporter
  • ahli-ahli dibawah tanzim
  • naqibah yang disayangi 
  • akhawat dan ikhwan
  • my med-doc-to-be sis
  • everyone


Sekitar PRK: bersama akhawat yang disayangi

Wednesday 16 January 2013

Just as Hari Ini

Bismillahirrohmaanirrohim
~in The Name of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful~
 
Hari ini rasa terpanggil untuk menulis sesuatu.
 
 
Hari ini Az mengeluh...
 
"Dentistry ni memang agak susah, Az baru tahu! Selama ini apa yang Az tahu, susahnya umpama memanjat pokok kelapa, tapi hari ini telah membuktikan susahnya ia umpama memanjat tiang licin untuk naik ke langit!"
 
Hari ini hati kecil ini memberontak.
 
Apatah lagi bila mendengarkan nasihat seorang endodontist kepada salah seorang pelajar Cina:
"Kena hati-hati tau, Dentistry ni susah..."
 
Hari ini jasad lemah ini hilang arah.
 
Tercari-cari ke mana patut jasad lemah ini dibawa pergi.
Lalu, surau itu disinggah.
Mata terpandang ke arah papan kenyataan tazkirah surau library sebaik sahaja kaki melangkah masuk.
 
"Jadilah wanita yang paling bahagia, karangan Dr. 'Aidh Abdullah AlQarni.
Jika merasakan hari kelam, luangkanlah 10 hingga 15 minit selepas solat Subuh, mohon kepada Allah supaya hari yang bakal dilalui disulami dengan keceriaan, penuh semangat dan penuh bermanfaat....La Tahzan"
 
Az salah kerana mengeluh dengan takdirNYA.
Az juga salah kerana cepat berputus harap dan berputus asa.
 
Sepatutnya Az menjadi hamba yang bersyukur kerana dilahirkan untuk berada dalam dunia Dentistry.
 
Tazkirah di radio IKIM pada Maghrib tadi : "Apabila merasakan diri ini sentiasa tidak cukup dengan rezeki kurniaan Allah, solusinya bukanlah kita perlu bekerja lebih keras, tapi luangkanlah masa untuk bersimpuh dan mengadu kepada Allah. Sentiasa anggap bahawa kekurangan rezeki itu adalah sebagai kaffarah dosa-dosa. Sebenarnya, merasakan tidak cukup itu menandakan diri kita ini masih lagi bukan golongan yang  bersyukur..."
 

Ya, sama juga bila mengeluh dan berputus asa, maksudnya Az tidak betul-betul bersyukur dengan takdirNYA.
 
Ampunilah hambaMU ini Ya Allah.
 
 
 
 
 
::a travelog dens in dente::
160113,ukmkckl,fgg
 
 
 
 
 


Saturday 12 January 2013

Dakwah Si Kecil

"Cik Su, Solihin nak duit seringgit boleh tak?"
 

Pasar malam Bangi penuh sesak dengan manusia pelbagai jenis, riuh rendah dengan suara penjual. Ada yang ke hulu, ada yang ke hilir, ada yang statik, tiada arah.

Az terhenti seketika, matanya terarah kepada Solihin.

"Solihin nak buat apa duit tu?"

"Ada laa..."

"Solihin nak beli apa?"

Lalu tangannya Az tarik untuk teruskan perjalanan. Almaklum nak dekat Maghrib dah.

"Solihin nak letak dalam tabung tu..." Jarinya menuding ke arah tabung di tengah-tengah simpang tiga pasar malam itu. Tabung Sumbangan Pembinaan Surau.

Az sendiri tak perasan atau buat-buat tak perasan.

Az malu sendiri.

Solihin, si anak kecil...

Anak hasil tarbiyyah Islam.

Darinya, banyak Az belajar.