Saturday 23 March 2013

a 'Gift to Explore'


3 tempat untuk menginsafkan diri:
1) Kawasan perkuburan Islam
2) Hospital
3) Rumah anak-anak yatim

Hari ini, rasa terpanggil untuk berkongsi perjalanan blogger 'a Travelog of Mine'. Moga bermanfaat.

Seawal 7.20 pagi, usai menyiapkan diri dan mengisi perut dengan 2 keping biskut, aku berjalan menuruni tangga blok F, menuju ke surau D. Surau D berada di blok pelajar lelaki. Mulanya segan, tetapi setelah melihat 2 orang Muslimah memasuki pintu surau itu, aku kuatkan langkah. Dengan niat membantu meringankan beban organisasi 'Gift to Explore', aku masuk ke surau D. Sepatutnya seperti yang dirancang dalam meeting semalam, para organisasi dan fasilitator perlu berkumpul seawal 7.00 pagi. Tapi yang ada hanyalah pengarah dan exco program. Dua-dua Muslimin! Aku seorang je Muslimah. Nasib baik junior. Jadi tak kisah la sangat. Dua orang Muslimah tadi bukan di antara organisasi, mungkin ada meeting program lain.

Dengan selambanya, aku duduk. Tak tahu nak tolong apa. Kepada pengarah, aku ajukan soalan, apa-apa yang perlu aku tolong. Pengarah Asrul minta aku untuk tiup belon. Haha. Aku gelak dalam hati. "Belon?Maaf, akak tak minat sangat la...Ada kerja lain tak?" Aku mengelak. Sebenarnya aku segan untuk tiup belon depan orang. Dah la sorang-sorang je kat situ. Mana entah budak-budak Muslimah lain.

Handphone di sebelah bergetar. Sape pulok?

"Ni kak Azra ke? Busy ke sekarang? Adik nak tanya pendapat akak ni, boleh tak?"

Nak mintak dia call nanti, tapi tak terkeluar ayat tu.

"Oh, boleh je. Tak delah busy sangat. Ada apa?"

Teringat mesej dari kakakku tadi mengkhabarkan tentang seorang lepasan SPM ingin meminta pandangan aku kerana dilema dalam memilih jurusan pengajian. Anak kepada sahabat Ma. Khabarnya dia memperoleh 8A. Hebat dong! Bangga! Orang kampung aku tu!

Difikiranku, agaknya aku boleh jadi kaunselor atau duta pengajian post-SPM nie. Hehe. Kalau bukan kepada anak-anak kampungku, kepada siapa lagi perlu aku taburkan jasa, semaikan budi? Aku taknak jadi kacang lupakan kulit, atau beras lupakan hamas padi. (betul ke?he!he!)

Tetapi serius terkejut jugak masa mula-mula dapat mesej dari kakak sulungku itu.
".....Ma ada bagi nombor fon kamu kat anak kawan Ma......". Aku berdebar. Kali ini, calon suami lagi ke? Hayyyyyakkkk!
Aku teruskan baca mesej itu sampai habis. Rupanya anak kawan Ma itu nak minta pendapat je. Hilang debaran.

Selepas 10 minit lebih bercakap menerusi handphone, dan dia macam dah faham procedure nak ambil jurusan perubatan, dia pesan: "Nanti kak Azra balik, bagitau adik ye, adik nak jumpa akak. Akak cuti bila?"

Haha, berdebar jugak orang ajak nak jumpa nie. Almaklum, aku pemalu orangnya. (Yeke?)
Perbualan berhenti disitu.

Kembali kepada program 'Gift to Explore'.

Dah namanya "explore", dapat guess tak ni program apa? Hehe.



Selepas persiapan rapi dibuat, kami berkumpul di court bola tampar. Aku sebagai salah seorang fasilitator untuk checkpoint 7 explorace ini. Kiranya aku ni wakil daripada BADAR, sebabnya program ini merupakan anjuran FSI dan diletakkan sepenuhnya bawah kelolaan BADAR (= Badan Dakwah dan Rohani). Jadi BADAR pun kena turun padang la~
*FSI= fiesta sinergi intelek.

<titian kasih>

Pintu pagar kayu ditolak. Kaki kanan mula melangkah masuk. Mak Indah menyambut kami. Bagaikan memahami, Mak Indah menunjukkan arah tempat yang bakal kami jadikan sebagai 1 daripada 9 checkpoint explorace. Tugasan di checkpoint ini senang je, cat dinding bilik anak-anak di sini, Rumah Titian Kasih.




Antara peserta explorace yang menyiapkan task di checkpoint 7


Adakah anda sedar akan kewujudan Rumah Titian Kasih? Berdekatan Tasik Titiwangsa yang famous tu. Rajin-rajinlah datang jenguk anak-anak disini.

Ini kali pertama menjejakkan kaki di rumah ini. Padahal, dekat je dengan kolej. Dan ini juga adalah kali pertama menjejakkan kaki ke rumah kebajikan anak-anak. Terharu dengan suasana. Sayu dengan keadaan anak-anak. Insaf dengan cara kehidupan mereka.

Hati aku memberontak lagi.

Dimana mak ayah mereka?

Dimana adik beradik mereka?

Dimana saudara mara mereka?

Kenapa mereka ditinggalkan disini?

Kenapa mereka perlu menghadapi semua ini?

Kenapa mereka perlu diasingkan dengan anak-anak diluar sana?

Kenapa mereka perlu dikumpulkan bersama golongan senasib mereka?


Kamu sedar mereka wujud?

Kamu cakna tentang mereka?

Kamu yakin mereka boleh hidup tanpa kamu?


Duhai kamu dan aku!

Apa yang telah kita sumbangkan untuk mereka?

Mereka perlukan kita.

Jasad dan roh kita.

Bukan duit kita.

Bukan makanan kita.


Mereka perlukan perhatian dan kasih sayang kita.

Bukannya tangan untuk membantu mereka.

Bukannya hati yang simpati dengan mereka.


Tetapi...

Masa kita bersama mereka!

Ini yang mereka perlukan!


Aku tak sehebat mereka. Tak setabah mereka. Tak semulia mereka. Sebab itu, Allah tidak meletakkan aku bersama mereka. Aku punya Ma, Abah, abang, kakak, adik, saudara mara, tetapi tetap tidak bersyukur. Tetap merungut. Tetap rasa tak cukup.

Arggghhhh! Manusia yang lupa! Lupa dalam dunia fana!

Anak di hujung katil itu menarik pandangan aku. Baru bangun agaknya. Aku cuba mendekatinya. Dari raut wajahnya, dia merupakan seorang anak Down Syndrome. Allah! Tabahnya anak ini diuji dengan sehebat ujian Engkau Yang Maha Hebat. Anak itu senyum. Bagai menyapa aku. Anak-anak lain memanggilnya 'budak cacat'. Kesian! Dia bukan cacat wahai anak-anak! Dia istimewa! Dia dengan dunianya. Sendirian. Tiada kawan. Dan aku tak memahami dunianya. Muga syurga selayaknya untukmu!

Terdengar tangisan anak kecil. Tiada yang memujuknya. Aku tak faham apa yang anak kecil ini mahukan. Di depannya ada seorang perempuan, mungkin ibunya, sedang menjemur kain. Tetapi, kenapa ibunya buat-buat tak tahu, buat-buat tak dengar tangisan si kecil ini? Makin lama makin tinggi suara tangisan itu. Aku cuba untuk memujuk si kecil, tapi dia tak mahu! Mungkin yang boleh menenangkannya hanyalah ibunya.

Di satu buaian, sepasang mata anak comel mengikuti langkahku. Agaknya 6-8 bulan. Mungkin mahukan hangatan pelukan bak seorang ibu. Aku? Let's try!

Di sudut yang lain pula, seorang anak perempuan, putih melepak, bertudung hitam memegang buku di tangannya. Bertubi-tubi aku ajukan soalan, tanpa mengharapkan jawapan. Kerana aku yakin aku masih belum ada aura untuk menarik anak-anak berkomunikasi denganku. Masih belum cukup ilmu berkaitan tarbiyatul aulad. Tetapi, aku kemudiannya dikhabarkan bahawa anak ini tidak mampu bercakap. Sedihnya hati. UjianMu memang hebat Ya Allah. Engkau kurniakan kecantikan untuk anak ini, tetapi Engkau tarik kenikmatan bersuara. Aku mencari hikmahnya.

"Kakak, bila kakak datang lagi nanti, kakak beli hadiah boleh? Saya nak bagi kat Mama saya. Mama saya suka hadiah, kak." Rayu anak perempuan itu. Umurnya mungkin dalam 5-6 tahun.

"Kakak, ni huruf apa?"

"Kakak, nak pinjam fon boleh? Saya nak telefon Mak saya."

"Kakak, saya pun nak mengecat jugak. Saya pandai buat tu."

"Kakak, kakak nak balik dah ke?"

Pelbagai ragam dan kerenah anak-anak. Semuanya mengajar aku erti hidup. Bahagia, derita, kasih sayang, syukur, tabah, dan erti segala-galanya. Kalau bukan kerana 'Gift to Explore' ini, mungkinkah aku akan ditemukan dengan mereka? Mungkinkah kakiku ini akan menjejak Rumah Titian Kasih?Mungkinkah hati aku akan diketuk?

Terima kasih Ya Allah, Engkau ketukkan hatiku dengan anak-anak ini. Ada hikmah tersembunyi di sebalik 'Gift to Explore'. Shall I twist it with 'Explore to Gift'?





Anak-anak di Titian Kasih

Friday 8 March 2013

belajar?nikah?=belajar nikah?


"Abah, apa pendapat abah tentang nikah waktu belajar?"

Angin sepoi-sepoi bahasa pada petang itu. Tenang. Damai. Bagaikan memberi laluan untuk medan perbincangan.

Abah dan Ma terpaku dengan pertanyaan itu. Mereka memandang aku. Concentrate.

Di tangan aku masih erat memegang Kitab Ringkasan Riyadhatus Solihin. Setia di genggamanku. Bagaikan mengerti yang aku perlukan kekuatan untuk berbicara tentang perkara ini.

" Zaman sekarang ni, dah jadi perkara biasa nikah waktu belajar. Ada je kat luar sana yang nikah, dan dalam masa yang sama pandai uruskan rumah tangga. Anyway, kenapa anak abah tanya soalan macam ni?". Abah masih tak dapat meneka isi hati anaknya ini.

Aku menahan malu. Ini kali pertama berbicara tentang nikah dengan wali aku yang sah, Abah.

Aku menyusun ayat dalam hati. Satu persatu. Takut tersalah tafsiran oleh Ma dan Abah.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

"Assalamualaikum, Hana. Awak dah habis exam ke? Saya ingat nak jumpa awak la."

Aku menerima mesej daripada seorang yang sangat aku kagumi dan segani.
(Maaf, namanya tidak mampu dipamerkan disini.)

"Wassalam wbt. Exam dah habis. Tengah cuti sekarang ni. Ada apa nak jumpa saya? Boleh je, insyaAllah. Bila?"

"Malam ni saya ambil awak kat kolej boleh?"

"Boleh, InsyaAllah!"

"Oke, c u then!"

Malam hari Khamis. Seperti yang dijanjikan, beliau bersama suaminya datang ke kolej dan membawa aku ke sebuah gerai sate.

Selepas berbual-bual bermacam perkara, lalu beliau memulakan bicara, menyatakan hajat tentang pertemuan malam ini.

"Ada seseorang minta tolong saya untuk sampaikan sesuatu kat Hana. Tapi sebelum tu, saya nak tanya, Hana dah berpunya ke belum?"

Dengan hairannya, aku geleng. Sifat keibuan yang jelas terpancar menyebabkan aku rasa seperti aku bersama Ma, jadi aku perlu jujur dengannya.

"Ada seorang muslimin minta saya tanyakan hal ini. Dia mempunyai hasrat untuk mengkhitbah Hana. Jadi beliau minta saya untuk sampaikan perkara ini...

...dia tak kenal siapa mak ayah Hana, jadi sebab itu lah dia minta tolong saya jadi mediator...

...orangnya memang baik, dan peramah. Apa yang saya respect kat dia adalah, dia tak minta pun biodata/profile Hana dari saya. Maksudnya, dia seorang yang tak kisah pun siapa Hana, dari mana, dan anak siapa...

...dia ada emelkan kat saya tentang latar belakangnya. Nanti saya forwardkan kat Hana...

...Hana ambil la masa untuk fikirkan keputusannya. Cuba bincang dulu dengan mak ayah."

Satu teguk air ditelannya sebelum menyambung bicara.

"Hana dapat teka siapa orangnya?"

Sekali lagi aku geleng. Senyap. Tanpa sepatah kata.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

"Macam ni lah, kalau betul dia memang nak meminang, suruh dia datang jumpa family dulu. Tengok dulu family kita macam mana, takut nanti menyesal lepas nikah..." Abah memberi kata putus awal.

Aku menafsir ayat Abah. Datang meminang? Possible ke?

Ada banyak perkara yang perlu di'consider' sebelum meminta pihak sana untuk masuk meminang. Antara yang paling penting untuk dipertimbangkan adalah persediaan aku sendiri untuk menerima lamaran itu, atau dengan kata lainnya, adakah aku bersedia untuk mempunyai ikatan dengan sang lelaki itu?

Aku berkira-kira dalam hati. Abah ni biar betul.

"Hana yakin ke boleh bagikan masa untuk belajar dan masa untuk suami? Seperti yang Abah cakap tadi, ada orang boleh buat dua benda dalam masa yang sama, pandai uruskan rumahtangga dalam masa yang sama masih lagi seorang siswi. Tapi, Ma tak yakin Hana mampu lakukan. Ma takut Hana gagal nanti..." Ma mula bersuara, memberi pandangan.

Perbezaan pendapat antara Abah dan Ma. Tapi wali aku yang sah adalah Abah. (hehe)

Abah mula berfikir. Menafsir ayat Ma. Dalam diam Abah mengiyakan kata-kata Ma.

"Betul jugak tu. Hana yakin dia boleh jadi suami yang baik?"

Aku diam. Tiada jawapan.

"Anakku, Hana. Abah tak menghalang apa pun keputusan Hana. Semua bergantung pada Hana. Fikirlah baik buruknya khitbah ini."

Aku masih lagi diam. Sepatah belum keluar dari mulut. Buntu. Yang aku perlukan sekarang ini adalah pendapat Ma Abah, bukan keputusan aku.

Saraf dalam otak bersimpul, sarat dengan persoalan dan kebimbangan. Tapi, tak mampu untuk diluahkan kepada Ma dan Abah.

Adakah aku masih belum matang untuk menghadapai perkara ini?

Atau belum masanya?

Atau bukan jalan yang terbaik?

Atau ini dugaan yang perlu dilalui oleh hamba yang mengaku beriman kepadaNYA?


"Abah tak kisah ke kalau Hana nikah dalam waktu terdekat ni?" Aku menduga hati Abah.

Giliran Abah pula diam.

Ma mula mencari kata.

"Hana sanggup ke langkah bendul?"

Kakakku yang ketiga juga masih belajar, dan belum bernikah. Aku pernah menangis apabila kakakku menceritakan kisahnya yang ingin diperkenalkan kepada seorang engineer. Tiada orang tahu. Aku sedih, kerana aku akan kehilangan 'geng' apabila kakakku nikah kelak.

Pasti kakakku juga bersedih jika aku mendahuluinya...

Aku juga pernah menangis di rumah, apabila abang kembarku akad nikah di rumah isterinya pada suatu masa dulu. Satu-satunya abang yang rapat dengan aku. Tapi sekelip mata dia dah jadi milik orang lain dengan hanya satu lafaz akad nikah.

Pasti kakakku juga akan menangis apabila lafaz akad nikah menjadikan aku jauh darinya.

Wahai kakakku yang disayangi lagi dihormati,
Bukan ini yang aku pinta.
Ini jalan Allah yang perlu kita tempuh.
Redhakanlah hati supaya Allah redha akan kita.

"Anakku Hana, ini cadangan Abah. Abah mengharapkan Hana habiskan dulu pelajaran. Lagipun hanya lebih kurang 2 tahun dah nak habis. Kalau pihak sana tak sabar, biarlah diorang cari yang lain. Hana jangan bimbang, Nescafe campur Milo, tetap akan jadi Neslo...Kalau dah jodoh Hana dengan dia, lambat atau cepat bukanlah penghalangnya. Abah doakan yang terbaik untuk Hana."

"Baiklah Abah. Kalau itu keputusan yang Abah redha, maka tiada lagi alasan untuk Hana mencari keputusan lain."

Dan aku lalui jalan hidupku seperti biasa. Walau kekadang hati rasa diganggu dan terganggu.

Ya Allah,
Jika ini jalan yang perlu aku tempuh,
redhakanlah hatiku supaya Engkau redha terhadapku.

Ya Allah,
Engkau tetapkanlah aku atas keputusan ini.
Engkaulah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaMu.

Ya Allah,
Jika dia jodoh yang terbaik untuk agamaku, terbaik untuk kehidupanku di dunia dan akhirat,
maka ikhlaskanlah hatiku untuk menerimanya, dan ikhlaskanlah hatinya untuk menerimaku.

Jika sebaliknya,
maka jauhkanlah dia dariku dan jauhkanlah aku darinya,
Wahai Allah Yang Maha Mengtaqdirkan.

Aku serahkan segala urusan hidup dan matiku kepada-Mu, Ya Allah.



kahkahkah